BANTUAN…..Hendrus Anding (tengah) bersama dengan semua yang terlibat dengan edaran bantuan bakul makanan kepada 7 kampung di kawasan Tandek, Kota Marudu.
KOTA MARUDU, 28 Januari 2021: Sebanyak 514 Ketua Isi Rumah (KIR) dari 7 kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tandek mendapat bantuan bakul makanan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri melalui Pusat Bantuan Bencana Daerah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek, Hendrus Anding terus giat menyalurkan bantuan bakul makanan kepada penduduk kampung yang terputus hubungan dan bekalan makanan.
Edaran bantuan bakul makanan kali ini bertumpu di tujuh kawasan kampung yang sukar dimasuk oleh kenderaan kecil, iaitu kampung Sosogon Magandai, Sonsogon Paliu, Sonsogon Makatol Laut, Sonsogon Suyad, Lingkabungan Satu, Sungai Magandai, dan Binontungan Suyad.
Sebanyak 11 buah kenderaan pacuan empat roda (four wheel drive) digunakan dalam misi kali ini yang mengambil masa perjalanan selama 12 jam.
Turut serta dalam mengedarkan sumbangan bantuan bakul makanan ialah Setiausaha Politik kepada Kementerian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak Jabatan Perdana Menteri Malaysia, Christopher Mandut, Pegawai Daerah Kota Marudu, William Ahlan, Pegawai Kebajikan Saimah Soluping, Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen (KPPP), Marianah Majinau, UPPM dan kakitangan Pejabat ADUN Tandek.
“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang sentiasa prihatin kepada rakyat di kawasan Tandek serta semua pihak yang terlibat sama menghantar bantuan bakul makanan Ini”, jelas Hendrus yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah.
“ Kos penghantaran bantuan bakul makanan dan lain-lain kos dibiayai oleh Datuk Dr. Maximus J. Ongkili yang merupakan Ahli Parlimen Kota Marudu dan juga dirinya sendiri.”
Baru-baru ini, hujan yang berterusan telah menyebabkan banjir di kawasan (DUN) Tandek menyebabkan penduduk kampung terputus hubungan dan bekalan makanan.