BANDA ACEH: Banjir dan tanah runtuh yang melanda Kabupaten Aceh Tamiang sejak minggu lalu terus disifatkan sebagai bencana terburuk di wilayah itu selepas tragedi Tsunami Aceh pada 2004.
Menurut pihak berkuasa tempatan, hujan lebat berterusan sejak 26 November menyebabkan paras air sungai meningkat mendadak sehingga melebihi 3.5 meter dalam tempoh 72 jam. Keadaan itu mengakibatkan ratusan penduduk tidak sempat menyelamatkan harta benda, selain terpaksa keluar sehelai sepinggang.
Beberapa penempatan termasuk Menang Gini, Kampung Dalam dan kawasan sekitar Karang Baru dilaporkan hampir musnah sepenuhnya selepas dihanyutkan arus deras bersama lumpur, kayu balak dan serpihan runtuhan.
Penduduk Menang Gini, Ishak, berkata kenaikan paras air yang terlalu cepat menyebabkan banyak rumah musnah dalam sekelip mata.
“Paras air naik lebih dua meter dalam tempoh 48 jam. Pada hari ketiga, ia meningkat sehingga kira-kira 3.5 meter. Banjir ini seperti tsunami, cuma datangnya dari sungai,” katanya ketika ditemui Berita Satu.
Ishak bersama lebih 50 penduduk lain kini berlindung di sebuah pejabat pertubuhan tempatan selepas terperangkap empat hari tanpa bekalan elektrik dan kekurangan makanan.
“Arus sangat kuat, rumah kami habis ranap. Keperluan mendesak ketika ini ialah makanan, air bersih dan ubat-ubatan, terutama untuk bayi. Ramai anak kecil demam,” ujarnya.
Seorang lagi penduduk Kampung Dalam, Wahyu Putra Pratama, turut berkongsi detik cemas apabila air melimpah masuk sejurus selepas Maghrib dan meningkat hampir setinggi kabel elektrik.
“Paras air naik sehingga tiga meter dalam tempoh sejam setengah. Rumah kami semuanya runtuh.
“Kami terpaksa berenang sambil mengikat tali di pinggang supaya tidak dihanyutkan arus,” katanya.
Pihak berkuasa kini meneruskan usaha pemindahan penduduk, selain menyalurkan bantuan kecemasan ke kawasan yang masih terputus hubungan.



