Perarakan Kenderaan berhias sempena Perayaan Sembilan Maharaja Dewa.
LABUAN: Hampir 3,000 penganut agama Taoism di pulau ini meraikan perayaan keagamaan Sembilan Maharaja Dewa yang diadakan dengan pelbagai aktiviti pada hari kesembilan bulan kesembilan kalender Cina.
Pengerusi Persatuan Pengurusan Tokong Feng Huan Shan Ba Miao Datuk Wong Kee Yii berkata, perayaan itu turut dirai bersama-sama para penganut Tokong Taoism dari Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, sepanjang perayaan berlangsung, penganut akan memakai pakai putih dan berpantang makan daging, makanan laut dan tenusu serta menyalakan colok gergasi di tokong.
“Perayaan itu bukan sahaja disambut oleh kaum berkenaan malah turut disaksikan kehadiran pelancong dari luar untuk melihat keunikan upacara agama berkenaan”, katanya ketika dihubungi di sini, pada Sabtu.
Wong yang juga Presiden Dewan Perniagaan Tionghua Labuan berkata, acara kemuncak perayaan itu ialah perarakan kenderaan berhias sepanjang lima kilometer dengan mengangkat kerusi tandu yang menurut kepercayaan penganut menjadi kenderaan dewa.
Selain itu, peserta perarakan turut memegang colok sambil dimeriahkan dengan persembahan tarian singa.
Sementara itu, perarakan yang bermula sekitar 7.30 malam dari Tokong Feng Huan Shan Ba Miao menghala ke Jalan Merdeka sebelum tiba di Tokong Guang Fo Gong di pusat bandar melalui beberapa batang jalan raya melibatkan Jalan Arsad Batu Arang, Jalan Tun Mustapha, Jalan Kampung Jawa, Jalan OKK Abdullah dan Dataran Labuan.



