Simsudin (duduk tengah) Faizal (duduk dua dari kanan) bersama tetamu khas dan AJK JPKK yang menerima watikah.
LABUAN: Seramai 22 warga kampung Layangan yang dilantik sebagai Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Jawatan Kuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) termasuk sembilan Ketua Blok menerima watikah pelantikan yang diadakan di salah sebuah hotel di sini, pada Selasa.
Majlis pelantikan AJK JPKK dan Ketua Blok bagi sesi 2025-2027 itu telah disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek.
Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Jabatan Penerangan Labuan, Mohd Arifin A.M Noordin, Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Labuan Howard Martin Kim Sung @Cornelius, Penolong Pengarah Jabatan Sosio Ekonomi Perbadanan Labuan, Luqmanulhakim Imbran dan Pengerusi JPKK Layangan, Faizal Lakat.
Faizal ketika berucap pada majlis itu berkata, pelantikan itu bertujuan memperkemas pengurusan kampung serta memastikan setiap isu penduduk dapat dikenal pasti dan disalurkan secara lebih sistematik melalui pembahagian kawasan mengikut blok.
Menurutnya, peranan JPKK dan ketua blok bukan sekadar pelaksana program, sebaliknya menjadi penghubung utama antara penduduk dengan pentadbiran kampung bagi menangani permasalahan setempat secara berperingkat dan menyeluruh.
Antara fokus terdekat yang diberi perhatian termasuk isu banjir dan krisis bekalan air, yang memerlukan kerjasama rapat pelbagai agensi berkaitan.
Sementara itu, Simsudin yang turut berucap berharap AJK dan ketua blok yang dilantik dapat memainkan peranan yang lebih proaktif khusus dalam menterjemahkan program program yang dilaksanaan oleh kerajaan MADANI kepada warga penduduk di kawasan masing masing.
“Pada masa sama AJK juga bertanggung jawab dalam membantu menyebarkan maklumat yang tepat dan sahih mengenai isu isu yang berjaya diselesaikan oleh kerajaan”, katanya.



