27.3 C
Kota Kinabalu
Khamis, Mac 27, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

200 pelajar dalam DUN Karanaan terima bantuan awal persekolahan

Oleh BOY BAIRI

RANAU – Seramai 200 orang pelajar sekolah rendah daripada kawasan “Sarayoh”, dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan, telah menerima bantuan awal persekolahan.

Empat buah sekolah terlibat iaitu, SK Tudan, SK Ratau, SK Tagudon Lama dan SK Toboh, masing-masing menerima bantuan berupa kelengkapan beg sekolah dan juga wang tunai.

MASIDI…berucap pada majlis itu

Bantuan disampaikan ADUN Karanaan, Datuk Seri Panglima Haj Masidi Manjun, bertempat di Mini Dewan Kg Ratau baru-baru ini.

Bantuan berupa kelengkapan beg sekolah serta wang tunai tersebut merupakan tajaan Yayasan Pekema, Liang Furniture Ranau, Lee Nyap Auto Parts Sdn Bhd (Datuk Jimmy Tham), Kapitan Cina Kundasang (Tuan Yap Fook Loy), Presiden Persatuan Pengusaha Pertanian Kundasang (Simon Leong Ken Hiong), Koh Yee Enterprise (Dato Koh Yee) dan Toupos Palm Oil Mill Sdn Bhd.

Masidi yang juga Ketua Penaja Pimpinan Bersatu Bahagian Ranau berkata, sumbangan tersebut adalah merupakan cerminan kepada sikap penduduk Ranau itu sendiri, di mana masyarakat di daerah ini terkenal dengan amalan bantu-membantu sesama sendiri.

“Betapa sikap terpuji penduduk di daerah ini sering membuatkan saya bangga untuk bercerita kepada orang luar bahawa seakan suatu tradisi kita bila mana kita mempunyai lebihan sedikit (rezeki), kita akan berkongsi dengan yang lain.

Salah seorang pelajar menerima bantuan disampaikan Masidi dan Jimmy

“Penduduk sekitar Sarayoh bertuah kerana para penaja telah memilih kawasan ini sebagai fokus untuk mereka menyalurkan sumbangan”, kata beliau lagi.

Menurut Masidi, kawasan Sarayoh dahulunya adalah suatu kawasan terpencil dengan sosial penduduknya yang mengamalkan pertanian secara nomad sebagai sumber pencarian hidup.

Masidi menyampaikan Sijil Penghargaan kepada Jimmy, salah seorang penaja

Bahkan, menurut Masidi, kedaifan kawasan tersebut masih segar dalam ingatan beliau dimana kenderaan kecil pun tidak dapat masuk ke kawasan tersebut kerana tidak ada akses jalanraya.

“Pelajar-pelajar atau penduduk kawasan Sarayoh yang mahu berurusan di Pekan Ranau atau Kota Kinabalu terpaksa berjalan kaki melalui denai-denai hutan yang menjadi laluan rutin sebelum tiba ke jalan besar.

“Bagi yang mahu ke Ranau, mereka biasanya memilih untuk teruskan sahaja berjalan kaki dan biasanya akan mengambil masa selama dua hari untuk tiba. Manakala mereka yang mahu ke Kota Kinabalu pula, mereka akan menunggu kereta untuk lalu di jalan besar yang berlumpur dan mengambil masa selama 3 hari untuk tiba ke destinasi”, tambah beliau.

Salah seorang penaja menerima sijil penghargaan disampaikan Masidi

Sungguhpun demikian kata beliau, penduduk kawasan Sarayoh seharusnya berbangga kerana graduan pertama dan seterusnya antara graduan terawal daerah Ranau adalah datang dari kawasan tersebut.

“Kemiskinan dan kedaifan hidup seharusnya menjadi batu loncatan untuk mencapai kejayaan, bukannya sebagai batu penghalang”, ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, Masidi turut mengucapkan tahniah kepada 3 dari 4 buah sekolah yang menerima sumbangan tersebut iaitu SK Tudan, SK Ratau dan SK Tagudon Lama kerana berjaya memperoleh keputusan 100% dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini.

Sebahagian tetamu yang hadir

Terdahulu, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Ranau, Puan Siti Hamni Hashim mengumumkan daerah Ranau pada tahun ini hanya berjaya menduduki tempat ke-6 dari 24 buah daerah di Negeri ini bagi senarai pencapaian keputusan UPSR seluruh Negeri.

Sungguhpun demikian menurut Siti Hamni, pencapaian purata bagi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) daerah ni jauh lebih baik mengatasi purata pencapaian kelulusan bagi Negeri Sabah.

Turut hadir majlis tersebut ialah Y. Bhg. Datuk Jimmy Tham serta rombongan penaja sumbangan, Encik Michael Yahya Dunggi, Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Ranau, Y. Bhg. Datuk Amisah Yassin, Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Ranau, Pengerusi Majlis Guru Besar Ranau, Encik Asmaily Gakau, wakil-wakil Jabatan Pendidikan Ranau serta pelajar dan ibubapa.

KENANGAN…Masidi merakam gambar bersama Siti Hamni dan para penyumbag/penaja.
ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN