TERBAIK – Samsul, Anita (dua kiri) dan Farida (dua kanan) bersama peserta terbaik Perkhemahan Pasukan Badan Beruniform Sekolah Kebangsaan Lubok Temiang dan Sekolah Kebangsaan Pekan Satu.
LABUAN: Seramai 75 murid Sekolah Kebangsaan Lubok Temiang (SKLT dan 100 murid Sekolah Kebangsaan Patai Patau Satu (SKPS) buat julungnya bergabung untuk menyertai perkhemahan Unit Berunifim yang diadakan di Pusat Kokurikulum Negeri, Wilayah Persekutuan Labuan baru baru ini.
Perkhemahan yang berlangsung selama dua hari telah berjaya memberi pengalaman berharga kepada murid yang teruja dengan program tersebut.
Program yang julung kali diadakan ini mengetengahkan pelbagai pengisian aktiviti yang mampu memupuk semangat berpasukan.
Pada masa sama, meningkatkan daya kepimpinan serta menambah ilmu asas kehidupan.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Samsul Mandisin.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa perkhemahan sebegini penting dalam membentuk jati diri, sahsiah unggul dan semangat cintakan sekolah serta negara.
“Perkhemahan ini bukan sekadar aktiviti luar bilik darjah, malah ia menjadi medan membina sahsiah murid yang berdisiplin, berani dan mampu memimpin.
Saya percaya pengalaman ini akan menjadi bekalan berharga buat murid pada masa hadapan,”katanya.
Samsul merakamkan ucapan penghargaan kepada Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Abdul Kahar Abdul Rahim.
Turut hadir, Guru Besar SK Pekan Satu, Anita Shyamini A/P S. Azman dan Guru Besar SK Lubok Temiang, Farida Abdul Rahman.
Hadir sama kedua-dua Penolong Kanan Kokurikulum, Juanawati Omar Junit (PKKO SKLT) dan Mohd Nasrun Ramlee (PKKO SKPS) serta barisan pentadbir sekolah.
Dalam ucapannya, Anita menekankan bahawa program bersepadu ini membuka peluang kepada murid untuk bekerjasama dan saling mengenali antara dua sekolah serta boleh diteruskan dengan penglibatan lebih banyak sekolah pada masa akan datang.
Program perkhemahan dikendalikan oleh Kem Komandan Ahmad Lutfi Abdul Razak (SKLT) bersama Joseph Teng Ming Soon (SKPS) dengan sokongan 42 guru SKLT dan 78 guru SKPS.
Perkhemahan itu turut mendapat kerjasama Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Persekutuan Pengakap Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), yang menyumbang kepakaran serta tenaga dalam menjayakan aktiviti.
Sementara itu, peserta terbaik lelaki dan perempuan perkhemahan imasing masing dinobatkan kepada Sarim Abdulah dan Clandestine Carrie Anak Janang (SKLT) manakala Muhammad Hilmi Zuhdi Mohd Sayuti dan Nur Qhaylla Fatriesya Mohd Taufik (SKPS).
Antara aktiviti utama yang dijalankan ialah kompas dan orientaring, kawad kaki, ikatan dan gajet, ikhtiar hidup, asas pertolongan cemas, persembahan malam kebudayaan serta aktiviti kerohanian.



