SEBULAT SUARA…. Kamal (duduk tengah) bersama Ketua Ketua Kampung yang hadir pada sidang media tersebut.
LABUAN: 17 Ketua Kampung di pulau ini sebulat suara mengangkat cadangan agar kuasa melantik Jawatankuasa Pembagunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) diberikan kuasa sepenuhnya kepada Ketua Kampung masing-masing.
Jurucakap kumpulan itu, Kamal Ariffin Khalidin berkata perlantikan yang dibuat oleh Ketua Kampung sebelum ini gagal mendapat kelulusan apabila ada Ketua Ketua Parti politik yang tidak berpuas hati dengan senarai pelantikan JPKK yang telah di kemukakan kepada pihak berkuasa tempatan dan ini sekaligus telah melewatkan penubuhan JPKK di kampung masing- masing.
Kamal Ariffin yang juga Ketua Kampung Bebuloh berkata, setiap ketua kampung telahpun menyeneraikan 11 barisan JPKK yang dipilih berdasarkan kelayakan dan juga mengambil kira kepada kepentingan perpaduan di peringkat kampung masing-masing.
“ Sehingga hari ini pelantikan JPKK belum dapat diselesaikan menyebabkan ketua kampung menghadapi dilema dalam menangani isu pembangunan dan peruntukan kampung,” katanya pada sidang media di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, kesemua 17 Ketua Kampung yang hadir pada sesi sidang media itu telah bersetuju sebulat suara untuk mengahantar memorandum yang akan diserahkan kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) untuk pertimbangan supaya Ketua Kampung diberi kuasa sepenuhnya dalam melantik 11 ahli jawatankuasa tersebut.
“Secara rasional, seharusnya tidak ada campur tangan politik dalam pelantikan jawatankuasa ini, kerana ini hanya akan memberi kesan kepada perpaduan dan kesejahteraan penduduk kampung,” katanya.
Kamal turut menjelaskan kuota 11 jawatankuasa yang terdiri daripada ahli-ahli tiga parti politik Umno, Parti Pribumi Bersatu Malaysia [Bersatu] dan PAS dilihat lebih berpotensi untuk memecah-belahkan rakyat.
“Demi kepentingan pembangunan disetiap kampung barisan 11 jawatankuasa itu mestilah tidak berpihak pada mana-mana parti politik dan yang lebih baik lagi individu yang dipilih mengangotai JPKK adalah mereka yang dapat diterima oleh penduduk kampung dan bekerjasama dengan ketua kampung,” katanya.
Beberapa ketua kampung yang hadir pada sidang media itu juga turut menyuarakan agar kuasa pelantikan JPKK diberikan sepenuhnya kepada ketua kampung yang lebih tahu dan memahami senario perkampungan masing-masing.
Untuk rekod Labuan mempunyai 27 ketua kampung yang telah diberi penjanamaan baharu sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sejak Julai tahun lalu.