25 C
Kota Kinabalu
Rabu, Mac 11, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

165 Ahli STAR Tulid Sertai GRS, Flovia Tegaskan Kestabilan Politik Kunci Kemajuan Sabah

SERTAI GRS..Pemimpin dan ahli STAR Dun Tulid menujukan borang keahlian GRS bersama Datuk Flovia Ng


KENINGAU: Seramai 165 ahli Parti STAR Sabah Bahagian Tulid hari ini secara rasmi menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) apabila menyerahkan borang keahlian kepada Pengerusi GRS DUN N.44 Tulid, Datuk Flovia Ng dalam satu majlis yang berlangsung di sini, hari ini.

Majlis berkenaan bukan sekadar simbolik kemasukan ahli baharu, tetapi juga menjadi medan memperbaharui semangat perjuangan dan keyakinan terhadap masa depan DUN Tulid.

Menurut Datuk Flovia, masa depan Tulid bergantung kepada kesatuan dan iltizam rakyat untuk terus memastikan kemajuan dapat dinikmati secara menyeluruh, merangkumi aspek infrastruktur, ekonomi, pendidikan dan kesejahteraan sosial.

“Kita berhimpun hari ini bukan sekadar mendengar ucapan, tetapi untuk memperbaharui semangat dan keyakinan bahawa masa depan DUN Tulid berada di tangan kita sendiri

‘Kita mahu melihat Tulid terus maju dan rakyatnya menikmati kemakmuran dalam semua aspek kehidupan,” katanya

Flovia turut mengingatkan jentera parti agar bersiap sedia sepenuhnya menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 yang akan berlangsung pada 29 November, dengan penamaan calon pada 15 November.

Beliau menegaskan tempoh berkempen selama 14 hari perlu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh semua jentera di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) untuk memastikan kemenangan GRS di DUN Tulid dapat dipertahankan.

“Saya yakin dengan kesiapsiagaan dan gerak kerja mantap yang telah kita bina sejak awal, kita berada di landasan kukuh untuk mempertahankan kerusi N.44 Tulid

“Kekuatan ini berpaksikan kerjasama erat antara ahli-ahli Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) dan parti-parti komponen GRS di Tulid,” katanya.

Menurut beliau, kemenangan di DUN Tulid bukan sahaja penting untuk penduduk setempat, tetapi juga memberi sumbangan besar kepada kekuatan GRS di peringkat negeri.

“Apabila GRS memperoleh majoriti dua pertiga atau lebih, ia menjadi isyarat jelas bahawa rakyat Sabah memilih kestabilan, kemajuan dan kesinambungan pembangunan

“Ini membolehkan agenda besar dalam Pelan Strategik Sabah Maju Jaya (SMJ) diteruskan dengan lebih berkesan,” tegasnya.

Flovia menekankan bahawa kestabilan politik merupakan asas utama kepada kemajuan dan kesejahteraan rakyat.

“Apabila politik tidak stabil dan kerajaan sering bertukar ganti seperti yang pernah berlaku di Sabah sebelum ini, kesannya amat besar, pembangunan tergendala, keyakinan pelabur merosot, pentadbiran menjadi keliru, perpaduan rakyat terjejas dan kemajuan negeri terbantut,” jelasnya.

Beliau berkata, inilah sebab utama GRS menekankan pentingnya kestabilan sebagai tunjang pentadbiran yang kukuh.

Menyentuh perancangan untuk Tulid, Flovia menegaskan komitmennya untuk meneruskan Pelan Pembangunan Tulid sekiranya diberikan mandat semula oleh rakyat pada pilihan raya akan datang.

Antara tumpuan utama ialah memperkukuh infrastruktur asas seperti menaik taraf jalan di kampung dan kawasan kebun, menyediakan bekalan air bersih, elektrik serta capaian internet berkualiti.

Selain itu, sektor ekonomi dan pendidikan juga akan terus diperkasa bagi melahirkan masyarakat berdaya saing, berilmu dan mampu meningkatkan taraf hidup keluarga masing-masing.

Flovia yang juga penyandang kerusi N.44 Tulid turut menjelaskan pendiriannya untuk kekal bersama GRS adalah atas dasar tanggungjawab terhadap rakyat, bukan kepentingan peribadi.

“Keputusan saya kekal bersama GRS bukan kerana kepentingan diri, tetapi kerana tanggungjawab terhadap rakyat Tulid

“Saya dan beberapa rakan seperti Datuk Allron (Sook), Datuk Anuar Ayub (Liawan), Datuk Robert Tawik (Bingkor) dan Datuk Abidin Madingkir (Paginatan) bukan pengkhianat, kami pejuang kestabilan,” tegasnya.

FLOVIA ketika berucap pada majlis itu

Beliau berkata, keputusan itu selaras dengan persefahaman bersama pucuk pimpinan GRS dan presiden-presiden parti komponen dalam gabungan tersebut, dengan matlamat utama membina kestabilan politik demi masa depan Sabah.

“Saya tidak berpaling tadah. Saya berkorban demi memastikan rakyat Tulid terus menikmati pembangunan, dan agar segala perancangan yang telah dirancang tidak tergendala,” tegas Flovia.

Beliau turut menyeru semua jentera GRS agar memperkukuh disiplin dan semangat perjuangan menjelang PRN ke-17.

“Kemenangan tidak akan datang dengan mudah, ia menuntut kerjasama dan keikhlasan perjuangan

“Kepada semua rakan dari parti-parti komponen GRS di Tulid, marilah kita berpadu tenaga untuk kemenangan bersama

“Selepas kita menang nanti, aspirasi Kongsi Kuasa dalam kalangan komponen GRS di Tulid akan direalisasikan,” katanya.

Flovia juga yakin bahawa dengan kesatuan dan semangat perjuangan bersama, GRS akan terus membawa Tulid maju ke hadapan, seiring dengan visi Sabah Maju Jaya.


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN