Remy, Jonathan dan yang lain-lain memberi tanda bagus untuk program Medical Outreach Camp yang diadakan di sini pada hari Jumaat
RANAU: Kira-kira 150 penduduk kampung termasuk kanak-kanak mengambil kesempatan mendapatkan saringan kesihatan percuma dan faedah lain semasa program Medical Outreach Camp anjuran Bulan Sabit Merah Malaysia Kota Kinabalu di Dewan Terbuka Kg Kigiwit, Ranau pada Jumaat.
Pengerusi Bulan Sabit Merah Malaysia Kota Kinabalu, Remy Martin Gunsalam berkata, program Medical Outreach Camp ini bertujuan menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma dan perkhidmatan kesihatan lain kepada penduduk setempat yang tinggal di kawasan jauh Ranau.
“Program ini termasuk pemeriksaan kesihatan (Pap smear dan pemeriksaan kesihatan asas) yang dilakukan oleh Klinik Kesihatan Paginatan dan Borneo Sinarmas, sebuah agensi di bawah Kementerian Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat. Perlindungan ini untuk mereka yang berumur 40 tahun ke atas untuk Pemeriksaan Perubatan menyeluruh.
“Bulan Sabit Merah Malaysia KK turut mengagihkan lampin untuk bayi, tuala wanita dan peralatan mandian kepada penduduk kampung.
“Manakala kira-kira 38 pelajar SK Nukakatan, Ranau telah menyertai sesi promosi kesihatan dan kebersihan yang dilakukan oleh pasukan Bulan Sabit Merah Malaysia Cawangan Kota Kinabalu,” katanya.
Menurutnya lagi, antara aktiviti lain yang disertakan dalam program itu ialah pengagihan pakaian tersayang dan pengagihan goodies bag kepada penduduk kampung.
Majlis penutup program itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin, sebelum penganjur bersama ahli Parlimen turut melawat beberapa orang tua dan OKU di kawasan itu.
Dalam ucapannya, Jonathan mengucapkan syabas dan ahniah kepada pihak penganjur kerana berjaya menganjurkan program yang bermanfaat kepada penduduk kampung itu.
Beliau berharap agar program yang serupa akan terus diadakan di kawasan ini pada masa yang akan datang supaya lebih ramai lagi penduduk dapat menikmati kebaikan yang dibawakan oleh persatuan berkenaan.
Dalam pada itu, beliau juga menggesa seluruh lapisan masyarakat penduduk di sini untuk datang beramai-ramai mengambil bahagian dan mendapatkan manfaat dalam setiap aktiviti yang dianjurkan dalam Medical Outreach Camp itu.
Organisasi lain yang terlibat dalam program tersebut ialah Ketua Kampung dan JKKK Kg Kigiwit, Klinik Kesihatan Paginatan, Borneo Sinarmas, Inner Wheel Kota Kinabalu, dengan Presiden Kelab Inner Wheel Kota Kinabalu, Margaret Awang sebagai penganjur utama.