26 C
Kota Kinabalu
Sabtu, Februari 15, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

14 individu ditahan di kawasan larangan-Pelantar Minyak

PERIKSA…. Anggota Maritim Zon Labuan memeriksa sebahagian individu yang di tahan ketika memancing di kawasan larangan pelantar minyak Kikeh.


LABUAN: Zon Maritim Labuan menahan 14 individu kerana melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan larangan Pelantar Minyak Kikeh kira-kira 60 batu nautika dari Barat Laut Pulau Labuan, pada Khamis.


Pengarah Zon Maritim Labuan, Komander (M) Nor Bakari Abu Bakar berkata, semua mereka ditahan oleh anggota Bot Ronda ZM Labuan yang sedang melakukan Ops Pelantar di kawasan berkenaan.


Turut ditahan dua buah nelayan dan tujuh bot kecil yang digunakan ketika memancing di kawasan tersebut.


Menurut Nor Bakari, kawasan pelantar minyak adalah kawasan larangan bagi semua aktiviti di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.

SARINGAN…Pegawai Kesihatan melakukan saringan kesihatan kepada salah seorang individu yang ditahan oleh Zon Maritim Labuan pada Khamis.


“ Semasa pemeriksaan dilakukan, didapati dua bot nelayan terbabit sedang bertambat pada hos minyak FPSO Kikeh sebagai bot induk manakala tujuh lagi bot kecil sedang melakukan aktiviti memancing berhampiran dengan bot induk” katanya dalam satu kenyataan media di sini, pada Sabtu.


Jelasnya, semua 14 individu lelaki yang ditahan berumur antara 14 hingga 71 tahun membabitkan dua warga tempatan, 12 lagi warga asing Filipina yang masing-masing tiga pemastautin tetap, lima pemegang kad IMM13, seorang hanya memiliki surat beranak dan 3 lagi tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.


“Mereka akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1959/63, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959,” katanya.


Sementara itu, Nor Bakari Bakari menyeru orang ramai supaya menjauhi kawasan pelantar minyak kerana sebarang aktiviti yang dilakukan dalam kawasan 500 meter radius boleh membahayakan nyawa yang berada di situ.


Mereka yang ditahan di bawa ke jeti Zon Maritim Labuan dan seterusnya diberi saringan ujian Covid 19 dan bot-bot terbabit telah disanitasi nyah kuman oleh Jabatan Kesihatan Negeri W.P Labuan.


Turut hadir memantau prosedur saringan di jeti ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri W.P Labuan Dr. Ismuni Bohari dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) W.P Labuan Nurzalizah Kartika Abdullah. TAMAT

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN