James menyampaikan bantuan bakul makanan kepada mangsa banjir di PPS Kg.Binsulong.
SUGUT: Seramai 1,135 orang penduduk yang terjejas akibat musibah banjir disekitar perkampungan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Sugut menerima bantuan berupa bakul makanan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Sugut, Datuk James Ratib.
Pengagihan bakul makanan tersebut telah mula diedarkan sejak 14 Januari lepas mensasarkan 19 buah perkampungan yang terjejas teruk akibat banjir yang melanda kawasan itu sejak khamis lalu.
Datuk James Ratib yang juga Pembantu Menteri 1 Pertanian dan Perikanan Negeri Sabah menjelaskan,pihaknya telahpun mengedarkan sebanyak 1,500 paket bakul makanan ke seluruh perkampungan yang terjejas akibat bencana tersebut.
“Saya akan terus mempastikan penduduk yang terjejas akibat banjir ini tidak akan tercicir daripada sebarang bentuk bantuan sewajarnya”, katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kampung Binsulong.
Dalam pada itu, James turut menasihatkan penduduk terlibat agar terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) kesihatan dalam tempoh Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) walaupun berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
![](https://www.borneodailybulletin.com/wp-content/uploads/2021/01/IMG-20210116-WA0080-1024x579.jpg)
Keadaan banjir di sekitar Kg.Batangon Laut Paitan, Kg.Bunsulong,Kg.Ulu Teliduson dan Kg.Kobambangan.
Beliau turut menyeru agar Jabatan Kesihatan Daerah Beluran, Paitan dan Sungai-Sungai terus memantau tahap kesihatan penduduk kampung yang terjejas akibat banjir tersebut.
“Patuhi segala SOP kesihatan walaupun berada di PPS dan jangan sesekali melanggar segala garis panduan kesihatan dalam tempoh PKP ini. Selain itu, saya turut menyeru agar kakitangan Jabatan Kesihatan Daerah di Beluran,Paitan dan Sungai-Sungai terus memantau tahap kesihatan mangsa-mangsa banjir yang terlibat”, jelasnya.
Setakat ini, keadaan banjir dikeseluruhan 19 kampung sekitar kawasan itu semakin surut. Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dilihat masih berada dikawasan terjejas bagi memantau sebarang risiko gelombang banjir kedua akibat cuaca yang tidak menentu.
Dua buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) juga masih beroperasi iaitu PPS Dewan Kg.Binsulong yang menempatkan 52 orang penduduk dan PPS Dewan Kg.Kobambangan 21 orang.