SUMBANGAN… Mahat (kanan) menyampaikan BarMa kepada salah seorang penduduk Kg. Tinindoi diperhatikan Masidi.
RANAU: Pusat Khidmat Rakyat Parlimen (PKRPR) di sini, menyantuni lebih 1,088 Ketua Isi Rumah (KIR) dari 16 buah kampung dengan memberi sumbangan berupa Barang Makanan (BarMa) kepada mereka yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Bersyarat (PKPB) dan Diperketat (PKPD) di daerah ini.
Sumbangan tersebut telah dihantar dan disampaikan kakitangan dan Sukarelawan Parlimen Ranau, mewakili Timbalan Menteri II, Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang juga Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin.
Manakala pada Khamis, seramai 405 ketua isi rumah dalam kawasan Parlimen iaitu DUN Kundasang, DUN Paginatan dan DUN Karanaan turut menerima sumbangan.
Ramai penerima yang sempat ditemui, masing-masing merakam penghargaan terima kasih dan memuji usaha Jonathan membantu penduduk yang cukup terkesan berikutan penularan pandemik Covid-19 yang kini telah mengorbankan banyak nyawa seluruh dunia.

Primus (kiri) memperlihatkan borang penerimaan Bantuan Barang Makanan kepada Azlie yang mewakili Kg. Puru-Puru Lingkudau Ranau.
Jonathan ketika dihubungi memberitahu, sumbangan BarMa itu akan diteruskan dengan mengenalpasti golongan terkesan dengan Covid-19 terutama golongan kurang berkemampuan, Orang Kelainan Upaya (OKU), Warga Emas, Ibu Tunggal, dan pesakit telantar.
“Saya mengharapkan seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira suku kaum, agama dan idologi politik agar mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan untuk memutuskan rantaian penularan Covid-19 yang kini menular seluruh dunia termasuk Malaysia”, tegas Jonathan.
Beliau menggesa penduduk Ranau dan Kundasang supaya mematuhi SOP seperti, mengamalkan penjarakan sosial (1 meter) antara idividu, menjaga kebersihan diri, memakai Pelitup Separuh Muka (Facemask), kerap membasuh tangan dengan sabun (sanitizer) dan tidak mengunjungi kawasan sesak (ramai orang).
“Itulah senjata berkesan untuk kita gunakan bagi memerangi pandemik Covid-19 memandangkan ketika ini kita menghadapi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKPB dan PKPP di Malaysia termasuk negeri Sabah bagi mengelak jangkitan Coronavirus yang menular seluruh dunia”, tambah Jonathan.