KETIBAAN… sebahagian daripada pelajar turun dari pesawat Airbus penerbangan khas dari KLIA.
LABUAN: Seramai 111 daripada 232 pelajar yang menuntut di pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Semenanjung Malaysia yang pulang ke Labuan menjalani kuarantin di dua pusat kuarantin di sini.
Manakala selebihnya (121) dibenarkan pulang kerumah masing-masing untuk menjalani kuarantin dalam rumah.
Demikian diberitahu oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Wilayah Persekutuan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman kepada media, pada Jumaat.
Terdahulu sebelum itu beliau membuat pemantauan pergerakkan ketibaan 232 pelajar yang pulang ke Labuan di Lapangan Terbang Wilayah Persekutuan Labuan.
Beliau berkata kesemua 111 pelajar itu menjalani proses kuarantin yang ditempatkan di dua buah pusat kuarantin masing-masing 95 di pusat Kuarantin Giat Mara dan 16 yang lain ditempatkan di Pusat Kuarantin ILP.
“Kesemua mereka di kuarantin selama 14 hari selepas menjalani pemeriksaan kesihatan termasuk ujian penilaian risiko dan pengambilan sample oleh Jabatan Kesihatan yang mmelakukan saringan sebaik tiba di Lapangan Terbang Labuan hari ini,” katanya.
Dr. Fary yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, berharap ibu bapa dan pelajar yang menjalani kuarantin di rumah dapat menjaga disiplin diri dengan mematuhi Prosedur Operasi Standart (SOP) yang telah digariskan bagi mengekang penularan Covid 19 daripada terus merebak.
“Kita berharap ibu bapa dan pelajar perlu mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan dan sekiranya terdapat pelajar yang ingkar mereka boleh diambil tindakan undang-undang” katanya.
Terdahulu sebelum itu kesemua 232 pelajar tersebut telah diterbangkankan dari Lapangan Terbang KLIA kira-kira jam 9.15 pagi menaiki penerbangan sewa khas mengunakan pesawat Airbus A332 MAS dan tiba di Labuan sekitar jam 11.40 pagi.
Selain Dr. Fary turut memantau pergerakkan ketibaan pelajar itu ialah Ketua Polis Labuan, Superitendan Muhamad Farid Ahmad, Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Wilayah Persekutuan Labuan, Nurzalizah Kartika Abdullah dan Pengarah Jabatan Penerangan Labuan, Supian Musa.
Turut berada di balai ketibaan lapangan terbang Labuan ialah para ibu bapa pelajar berkenaan.
Dalam perkembangan yang sama, seramai 287 pelajar dari Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) dan Kolej Matrikulasi Labuan (KML) berlepas pulang ke Kuching Sarawak menaiki kapal yang sama bagi penerbangan MH 8657 Labuan-Kuching. TAMAT