Dr..Ritchie menyerah sumbangan.kepada golongan asnaf di perkarangan Masjid Al-Kauthar Tanjung Aru kelmarin.
KOTA KINABALU: Seramai 110 penerima asnaf menerima bantuan, disempurnakan oleh Dr. Ritchie Jay Cheng dari Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Tanjung Aru.
Program Penyerahan Sumbangan kepada Asnaf dan Jualan Rahmah telah diadakan di Masjid Al-Kauthar Tanjung Aru kelmarin.
Program dengan kerjasama Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sukaneka, pertandingan hafazan, azan dan kempen derma darah yang mendapat sambutan hangat masyarakat setempat.
Dr. Ritchie berkata penganjuran program seumpama ini mencerminkan komitmen PGRS untuk membawa politik berasaskan khidmat, seiring aspirasi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
“Kita mahu politik kerja nyata, bukan sekadar retorik. PGRS Tanjung Aru akan terus turun padang membantu rakyat tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Beliau turut merakam penghargaan kepada pengurusan masjid, sukarelawan dan agensi terlibat atas kejayaan program tersebut.
“Inilah wajah politik khidmat — turun padang, bantu rakyat, dan bina perpaduan,” ujarnya.



