25 C
Kota Kinabalu
Khamis, Mac 12, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

106 pain darah dikumpul dalam kempen derma darah di Ranau

Jonathan dan yang lain memberi kata-kata semangat kepada penderma darah dalam acara tersebut


RANAU: Sebanyak 106 pain darah berjaya dikumpul pada Program Fun Walk dan Setitis Darah Penghubung Insan 5.0 anjuran bersama Hospital Ranau di Padang Pekan Ranau baru-baru ini.


Program yang mendapat penyertaan lebih 100 penderma daripada segenap lapisan masyarakat itu menampilkan pelbagai aktiviti seperti Fun Walk, Sesi Aerobik – Wellness of Wheel dan sebagainya.


Tujuan utama program diadakan adalah untuk menambah bekalan darah di Unit Tabung Darah Hospital Ranau khususnya bagi pesakit Talasemia yang semakin meningkat di Ranau.


Perasmian penutup majlis itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin yang melihat program itu sebagai program yang sangat mulia memandangkan tujuannya untuk membantu menyelamatkan nyawa.


“Tidak dinafikan bahawa menderma darah adalah satu perbuatan yang terpuji kerana ia menunjukkan bahawa kita mengambil berat terhadap orang lain yang tidak dikenali dengan kita.


“Ia adalah satu sikap tidak mementingkan diri yang perlu digalakkan dan disokong oleh semua pihak.
“Kita tidak tahu bahawa satu hari nanti mungkin giliran kita atau ahli keluarga kita memerlukan bekalan darah.


“Untuk itu, saya menggesa mereka yang layak untuk menderma untuk dapat pergi juga ke hospital untuk menawarkan untuk menderma darah,” katanya.


Beliau mengucapkan tahniah kepada semua penderma yang tampil menderma darah dalam majlis tersebut, serta semua pihak yang berkorban masa dan tenaga untuk menganjurkan program tersebut.


Datuk Jonathan berharap agar majlis seumpama itu juga akan diadakan pada masa akan datang.


Antara aktiviti lain yang diadakan dalam program tersebut termasuklah Persembahan Aerodance, Forum “Derma Darah dari Perspektif Islam dan Perubatan”, Tiket Bertuah, Pertandingan Mewarna, Kuiz Kemerdekaan, Jualan Rahmah dan lain-lain.


Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr William Gotulis dan Pengerusi Pengelola merangkap Pengarah Hospital Ranau, Dr Eva Candra Susanti binti Suhali, Penolong Pegawai Daerah, Florencia Padasian, antara lain.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN