Rafi
Labuan:Sebanyak 10 buah rumah bina baru di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) telahpun siap sepenuhnya dan telah diserahkan kepada penerima.
Pengerusi Penasihat Giat MARA Labuan, Datuk Mohd Rafi berkata, daripada 30 buah rumah bina baru PPRT,yang diluluskan peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), 10 daripadanya telah pun siap sepenuhnya, manakala 18 lagi sedang dalam pembinaan dan dua lagi dalam proses menunggu surat pelantikan kontraktor.
Selain itu katanya, KKDW juga telah meluluskan peruntukan untuk membaik pulih 100 buah rumah rakyat termiskin
Daripada jumlah itu sebanyak 35 buah telah siap dibaik pulih, manakala 65 buah lagi sedang dalam kerja baik pulih dan sebahagianya menunggu kelulusan untuk melantik kontraktor oleh pihak KKDW.
“Alhamdulilah semua ini adalah usaha KKDW yang sentiasa memberi perhatian dalam pembangunan Labuan khususnya yang melibatkan pembinaan rumah PPRT”, katanya ketika ditemui media pada Program Peningkatan Pendapatan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang anjuran oleh Giat MARA Sabah dan Labuan di Dewan Komuniti Patau-Patau Satu, baru baru ini.
Dalam pada itu Mohd Rafi yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan akan sentiasa berusaha untuk mengangkat permohonan infrastruktur yang diperlukan rakyat kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri KKDW, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar peruntukan yang lebih besar dapat diturunkan ke Labuan.
Hadir sama pada program itu, Pengarah KKDW Negeri Wilayah Persekutuan Dan Selangor, Nur’Aisyah Md Norudin dan Pengarah Giat MARA Sabah, Ts Azizudin Aziz.