33 C
Kota Kinabalu
Jumaat, Mac 29, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Varian Delta Boleh Membiak Dalam Hidung Individu Sudah Divaksin

Gambar sekadar hiasan

PUTRAJAYA: Kajian baharu mengenai varian membimbangkan (VOC) Delta, mendapati varian dominan berkenaan boleh tumbuh dalam hidung individu yang sudah mendapat vaksin, sama seperti individu yang tidak divaksinasi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kajian awal terhadap satu kes jangkitan mendapati, varian Delta itu tumbuh di hidung orang yang sudah divaksinasi seolah-olah individu berkenaan belum mendapatkan vaksin.

“Virus yang tumbuh itu sama penularannya kepada orang yang tidak divaksinasi. Ini bermaksud individu yang sudah divaksin tetap dapat menyebarkan virus berkenaan serta menjangkiti orang lain,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Sebelum ini beberapa kajian yang dijalankan di hospital di India, Provincetown, Massachusetts dan Finland juga turut mendapati selepas penularan varian Delta, terdapat banyak virus dikesan di dalam hidung seseorang indvidu itu sama ada mereka diberi vaksin atau tidak.

Dr Noor Hisham sebelum ini dilaporkan berkata varian Delta boleh merebak dalam masa lima hingga 15 saat dan jangkitan melalui udara.

Tempoh itu ternyata singkat jika dibandingkan dengan kes positif COVID-19 sebelum ini, iaitu individu yang terdedah boleh menjangkitkan virus berkenaan dalam jangka masa kurang daripada 15 minit dengan jarak satu meter.

Varian Delta pada asalnya digelar sebagai B.1.617.2, kali pertama dikesan di Maharashtra, barat India pada Oktober tahun lalu. – BH Online

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN