32 C
Kota Kinabalu
Khamis, Mac 28, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Penubuhan SRS mampu mewujudkan komuniti selamat dan harmoni: Jonathan

RONDAAN KESELAMATAN…Jonathan bersama anggota SRS dan agensi keselamatan lain menjalankan rondaan keselamatan disekitar Kg Lohan I.

RANAU: Penubuhan Skim Rondaan Sukarela (SRS) oleh Jabatan Perpaduan Dan Integrasi Nasional mampu mewujudkan komuniti selamat dan harmoni dikalangan masyarakat setempat.

Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin berkata, penglibatan masyarakat sangat di alu-alukan untuk menyertai aktiviti yang dianjurkan jabatan berkenaan termasuk menjalin kerjasama dengan agensi penguatkuasa berkaitan.

“Kerjasama anggota SRS dengan agensi penguatkuasa seperti Polis, Rela dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) amat penting agar masyarakat sentiasa berasa selamat untuk menjalani rutin kehidupan harian”. Tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Gerak Rahmah 2023 Jom Ronda Skim Ronda Sukarela (SRS) Peringkat Daerah Ranau yang berlangsung di Mini Dewan Kg.Lohan I dekat sini pada Jumaat.

Jonathan menjelaskan, daerah Ranau merupakan kawasan tumpuan utama pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negara dan memerlukan pemantauan keselamatan yang rapi.

Katanya, ramai pihak mengenali daerah ini yang terkenal dengan keindahan Gunung Kinabalu dan aspek keselamatan penting untuk menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke sini.

“Jika kes-kes jenayah dapat dibendung sepenuhnya, sudah tentu akan lebih ramai pelancong akan datang ke Ranau. Ia sekaligus menaikkan pendapatan masyarakat setempat selain menjana ekonomi negeri Sabah”. Katanya.

Terdahulu, wakil Ketua Polis Daerah Ranau, Asp Helvin Ribus dalam ucapannya berkata, anggota SRS turut mempunyai kuasa dibawah undang-undang sedia ada untuk menangani sebarang kegiatan jenayah.

Tegasnya, dibawah Seksyen 27 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) menerangkan tentang hak-hak tangkapan orang awam dan mana-mana tangkapan perlu diserahkan kepada pihak polis untuk dibuat tangkapan semula.

SUMBANGAN…Jonathan menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada salah seorang penerima.

Selain itu, beliau turut menasihatkan anggota SRS untuk sentiasa peka dengan jenayah siber yang semakin berleluasa ketika ini.

Katanya, peranan penting anggota SRS dan agensi penguatkuasa lain seperti Rela amat penting untuk menasihati masyarakat agar lebih berwaspada daripada menjadi mangsa penipuan.

“Rujuk pihak polis untuk mengesahkan sesuatu iklan atau tawaran pinjaman wang di media-media sosial. Kebanyakan mangsa yang terpedaya selalu terpengaruh melalui medium tersebut”. Tegasnya.

Dalam pada itu, Faiz bin Mohd Zahari, Pegawai Perpaduan Daerah Ranau turut menyatakan Sebanyak 43 Komuniti Rukun Tetangga (KRT) dan 23 SRS terlibat dalam Program Gerak Rahmah 2023 bagi daerah Ranau yang turut mendapat kerjasama agensi lain seperti PDRM, Rela dan AADK.

Jonathan turut bersama-sama anggota SRS, PDRM, Rela dan AADK menjalankan rondaan keselamatan disekitar kawasan Kg.Lohan I termasuk menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada lima keluarga memerlukan.

Turut hadir dalam program itu adalah Hazre Attin, Pegawai AADK Daerah Ranau dan Benedict Gundah, Pegawai Perhubungan Parlimen P.179 Ranau serta anggota-anggota SRS, Rela dan AADK setempat.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN