BECAK DAN BERLOBANG…..Antara kerosakan jalan antara Kg.Togop Darat dengan Kg.Togop Laut laluan utama penduduk dari 10 buah kampung ke pekan Ranau.
RANAU: Lebih 6,000 penduduk dari 10 buah kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.36 Kundasang merayu, kerajaan supaya membaiki kerosakan teruk laluan (jalan raya) antara Kg.Togop Darat dengan Kg.Togop Laut terletak kira-kira 45 kilometer dari pekan Ranau.
Mantan Ketua Kampung Kg.Togop Darat, Ust.Halim Bin Brahim 56 memberitahu, sudah menjangkau 40 tahun jalan itu belum pernah dibaiki kini menjadi kekangan penduduk menghantar hasil pertanian mereka ke pekan terutama menghantar pesakit untuk memohon rawatan ke Hospital Ranau.
“Pernah ada ibu mengandung hampir melahirkan anaknya di tengah jalan kerana masalah jalan raya tersebut yang berlobang-lobang, berlumpur dalam, licin, berselekoh tajam, curam dan bertambah buruk ketika musim hujan”, jelas Ust.Halim ketika menghubungi Utusan Borneo semalam.
Beliau mewakili penduduk mengetengah dan merayu kepada kerajaan supaya mengambil perhatian dan usaha sewajarnya bagi membantu menyelesaikan masalah itu.
Menurutnya, antara kampung-kampung yang menggunakan laluan itu ialah, Kg.Togop Darat, Kg.Togop Laut, Kg. Nalampai, Kg.Tibabar, Kg.Lobou Kiyep, Kg. Kopuakan, Kg.Tumbalang, Kg.Kewiyan, Kg.Karagasan dan Kg. Daramakon.
“Kami mohon Wakil Rakyat kawasan kami agar turut campur mengatasi kerosakan jalan tersebut”,tambah Halim.