GAMBAR: TENANG…. Suhaili tenang menerima suntikan vaksin Pfizer BioNTech dos kedua, pada Ahad.
LABUAN: Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan kini bersedia untuk melaksanakan Program Imunisasi COVID 19 fasa kedua yang dijangka bermula pada April depan.
Pengarahnya, Dr Ismuni Bohari berkata untuk fasa kedua ini seramai 27,000 individu akan menerima vaksin pada pertengahan bulan April tahun ini yang akan di tempatkan di tiga pusat vaksinasi masing masing di Klinik Kesihatan Membedai, Hospital Labuan dan Hospital Angkatan Tentera Udara Membedai.
“Kami harap dapat mempercepatkan program vaksinasi ini memandangkan jumlah mereka yang mendaftar menerusi MySejahtera di bawah fasa kedua melebihi 16,000 orang” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyaksikan hari terakhir Program Imunisasi COVID 19 Kebangsaan fasa pertama di Pusat Vaksinasi Klinik Kesihatan Membedai, pada Ahad.
Sementara itu antara individu yang menerima vaksin dos kedua pada hari terakhir ialah Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu (DPMM) Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman dan Pengerusi Persatuan Penggiat Media Labuan, Jainudin Djimin serta beberapa individu petugas barisan hadapan lain.
Secara keseluruhannya seramai 2,328 individu yang merupakan petugas barisan hadapan yang disenaraikan di bawah Program Imunisasi COVID 19 fasa pertama telah pun selesai menerima dos kedua vaksin PfizerBioNTech masing-masing.
Dr Ismuni berkata, Labuan antara yang terawal melaksanakan program imunisasi vaksin COVID 19 iaitu bermula pada 27 Feb, sehari selepas bekalan vaksin diterima.