25 C
Kota Kinabalu
Ahad, November 27, 2022
ADVERTISEMENTspot_img

Kejadian Kerosakan pada Empangan Hidro Tenom Pangi di Tenom

PADA pagi Selasa, 1 November 2022 yang lalu, penduduk di sekitar Tenom, Keningau dan Beaufort telah dikejutkan dengan kejadian banjir yang telah memusnahkan beberapa kawasan perumahan penduduk akibat daripada hujan yang berterusan.

Terdapat juga kejadian aliran debri di kawasan Empangan Hidro Tenom Pangi, Tenom yang telah mengakibatkan kerosakan harta benda penduduk.

Susulan dengan kejadian aliran debri yang berlaku di kawasan Empangan Hidro Tenom Pangi ini, Ts. Dr. Noor Sheena Herayani Harith (gambat), Pensyarah Kanan dari Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang juga Felo Penyelidik Utama bagi Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), UMS, mengulas bahawa Empangan Hidro Tenom Pangi tersebut dibina adalah untuk menyalurkan bekalan elektrik di kawasan sekitar.

Empangan tersebut sebenarnya bukan dibina sebagai takungan air yang berlebihan. Kerosakan pada bahagian empangan ini adalah disebabkan oleh aliran debri (debris flow) yang terdiri daripada batu-batuan dan pokok-pokok yang telah hanyut dan terkumpul dibahagian empangan.

Aliran debri merupakan antara bahaya geologi yang membawa maut dan boleh menyebabkan kerosakan harta benda terutamanya di Malaysia. Kejadian ini berkemungkinan terjadi akibat terdapat kawasan tanah runtuh berdekatan disebabkan hujan yang berpanjangan sebelum dihanyutkan oleh arus sungai dan akhirnya terkumpul di bahagian empangan.

Oleh kerana tahap tampungan dan bebanan yang besar, struktur empangan tersebut tidak dapat menanggung beban luar jangkaan dan seterusnya telah menyebabkan keruntuhan. Disebabkan kejadian ini, maka lebihan debri telah melimpah dan membanjiri kawasan sekitar empangan seterusnya merosakkan dan menimbus beberapa struktur bangunan terutamanya kawasan perumahan berdekatan serta kenderaan.

Kejadian serupa dapat dilihat daripada peristiwa pasca gempa bumi dahulu yang disusuli oleh kejadian tanah runtuh dan hujan yang berpanjangan berlaku pada tahun 2015 di kawasan Mesilau dan Ranau. Kejadian tersebut menyebabkan tanah runtuh dan seterusnya mengalirkan aliran debri di kawasan Mesilou. Di mana struktur jambatan telah runtuh dan hanyut disebabkan bebanan yang terlalu tinggi.

Menurut Noor Sheena lagi, sudah tiba masanya kejadian bencana alam seperti aliran debri ini perlu diambil berat terutamanya apabila melibatkan pembinaan struktur yang besar seperti jambatan dan empangan. Di mana dengan mengambil kira analisis model aliran debri, di mana anggaran halaju dan larian atau haluan aliran debri tersebut dapat dibuat lebih awal dan seterusnya dapat mengurangkan risiko serta kerosakan akibat daripada bencana alam.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN