32 C
Kota Kinabalu
Khamis, April 25, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Anggota Bomba Contoh Terbaik Keluarga Malaysia

SIMBOLIK….Bashir ( tengah) menekan butang siren kecemasan sebagai  simbolik perasmian program Hari Anggota Bomba Sedunia peringkat JBPM Labuan.

LABUAN: Pengorbanan anggota bomba yang mempunyai sifat mengutamakan kepentingan orang lain lebih daripada  diri sendiri  dalam menjalankan tugas adalah contoh terbaik kepada Keluarga Malaysia.

Demikian kata Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bashir Alias ketika berucap merasmikan Program Hari Anggota Bomba Sedunia, Kempen Keselamatan Kebakaran dan Hari Bertemu Pelanggan peringkat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan yang diadakan di perkarangan Balai Bomba Sentral, di sini, pada Rabu.

Beliau berkata, warga Labuan  amat menghargai peranan dan tanggungjawab anggota bomba  yang sentiasa mengutamakan keselamatan dan keselesaan serta kepentingan oran lain.

“Tugas anggota bomba bukanlah satu tugas yang mudah. Anggota bomba perlu berhadapan dengan pelbagai risiko dan bahaya semasa menjalankan tugas menyelamat sama ada nyawa mahupun harta benda.

”Saya telah melihat  dengan mata saya sendiri komitmen dan dedikasi yang diberikan oleh seluruh anggota bomba semasa menyelesaikan pelbagai  misi bagi menjamin keselamatan Keluarga Malaysia di Labuan.|” katanya.

SERAH….Bashir menyerahkan alat pemadam api kepada Ketua Kampung Rancha-Rancha, Rosman Hussien mewakili Skuad Bomba Komunit kampung Rancha-Rancha.

Menurut Bashir, semasa pandemik COVID-19, anggota bomba merupakan salah satu Frontliners Keluarga Malaysia dan JBPM  merupakan antara organisasi kecemasan terawal yang digerakkan untuk menangani penularan wabak  ini.

“Selain itu terdapat juga anggota bomba yang telah gugur semasa menjalankan tugas menyelamat. Seragam merah ini menjadi saksi keberanian dan pengorbanan mereka terhadap seluruh Keluarga Malaysia”, katanya.

Pada majlis itu, Bashir yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan telah menyampaikan alat pemadam api kepada Skuad Bomba Komuniti dan sijil penghargaan  ‘Hero Bomba’ kepada dua orang awam yang telah membantu anggota bomba terawal dalam menyelamatkan harta benda dan  keselamatan orang awam ketika kebakaran berlaku.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Haji Rithuan Mohd Ismail, Timbalan Ketua Polis Daerah Labuan, DSP Mohd Ibrahim Mohd Ghani dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Labuan, Mohd Hafiez Daud serta beberapa ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN