24 C
Kota Kinabalu
Ahad, November 27, 2022
ADVERTISEMENTspot_img

196 GRADUAN KOLEJ SIDMA SABAH TAMAT PENGAJIAN

Penerima Anugerah Pelajar Terbaik SIDMA 2022 bagi program Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak


KOta KINABALU: Seramai 179 graduan Kolej SIDMA Sabah menerima Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak, manakala 17 lagi menerima Diploma Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan pada Majlis Konvokesyen Kolej SIDMA Sabah kali ke-8 di sini hari ini.

Majlis perasmian yang melibatkan keseluruhan 196 graduan itu disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sosial dan Majlis Penasihat Wanita Sabah, Dr. Hajah Ananglangka Mad Kassim.

Salah seorang penerima Anugerah Pelajar Terbaik SIDMA 2022 bagi program Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak, Deedee Cassandra Dallius ketika ditemui berkata, meskipun berhadapan dengan kesukaran melalui pembelajaran ketika fasa pandemik, namun semua itu menjadi satu pengalaman yang amat berharga.

“Keadaan itu menuntut kepada pengurusan masa yang baik berikutan banyak kekangan dan kesukaran semasa pandemik,
namun hakikatnya ia merupakan kunci untuk kejayaan,” katanya.

Gadis kaum Dusun yang berasal dari Ranau juga merupakan pemenang tempat ke-3 Unduk Ngadau Peringkat Negeri Sabah 2022 berkata, ibu bapa merupakan sumber inspirasi untuk berjaya kerana mahu membanggakan mereka yang telah banyak berkorban wang bagi melihat dia berjaya dalam pendidikannya.

Beliau turut menanam azam untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Tun Abdul Razak Sabah dalam tempoh yang terdekat.

Turut menerima Anugerah Pelajar Terbaik bagi program Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Matthew Don Bosco.

Sementara  itu, semasa berucap Dr. Hajah Ananglangka Mad Kassim memuji Kolej SIDMA sebagai salah satu institusi pengajian tinggi swasta terkemuka yang dilengkapi dengan infrastruktur teknikal semasa dan dengan itu memberikan suasana kondusif bagi para pelajarnya.

Beliau berkata, kursus Pendidikan Awal Kanak-Kanak telah membuktikan bahawa SIDMA selangkah ke hadapan berbanding kolej lain dalam mengiktiraf kepentingan pendidikan awal bermula dari penjagaan kanak-kanak hingga ke tadika.

Katanya, penyesuaian dan perhatian yang diberikan kepada model pembelajaran campuran yang diamalkan di Kolej Sidma untuk pensyarah dan pelajarnya menggabungkan kuliah bersemuka secara konvensional serta sistem sokongan berasaskan forum terbukti berjaya meningkatkan kadar kecemerlangan para pelajar.

“Usaha ini juga dapat memastikan agar graduan yang dihasilkan mempunyai ilmu yang tinggi dalam bidang yang mereka ceburi serta relevan untuk industri di abad ke 21,” katanya.

Sementara itu Pengasas dan Pengerusi Kolej SIDMA Sabah, Dr Morni Kambrie berkata, kolej berkenaan yang ditubuhkan pada tahun 2002 mula menawarkan program Pendidikan Awal Kanak-kanak pada tahun 2009.

Menjelang ulang tahun kali ke-20, Kolej SIDMA katanya, kolej itu telah menghasilkan ramai graduan yang berpengalaman dan berjaya dalam pelbagai bidang, baik di sektor awam mahupun swasta di seluruh negara.

Kolej SIDMA menawarkan program lain melalui kerjasama dengan Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) dalam pelbagai bidang pengajian yang sangat diperlukan dan melengkapi permintaan pelbagai industri di Malaysia pada masa kini.

Pada waktu yang sama, Dr. Morni yang merupakan tenaga pengajar serta dikenali sebagai penceramah motivasi meminta para pelajar agar mengambil apa sahaja peluang untuk mengejar cita-cita dan masa depan diri.
 
Jelasnya, mereka perlu mengurus dan membahagikan masa antara kelas, masa lapang dan bermain dengan betul untuk memastikan mempunyai masa yang cukup agar mereka lebih cemerlang dalam pelajaran.

Untuk maklumat lanjut mengenai Pendidikan Awal Kanak-Kanak serta kursus lain yang ditawarkan di SIDMA College, sila layari laman web SIDMA College atau kunjungi kami di SIDMA College Jalan Bundusan, Kota Kinabalu; atau hubungi nombor hotline kami: 088-732 000 atau 088-732 020.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN